Wednesday, August 24, 2005

Sampah sarap

Tong SampahTong Sampah. Kerjanya hanya menanti untuk diisi dengan sampah. Setelah penuh, pastinya dia tidak sabar untuk dikosongkan pula. Setiap hari, pelbagai jenis sampah dibuang ke dalamnya. Pelbagai rupa, pelbagai warna. Tapi yang pasti, baunya sahaja yang tidak mengenakkan jiwa.

Betapa pun murni kerjanya, namun ada kalanya ia disepak diterajang, dilontar dan dibaling. Selebihnya tidak dijaga, tidak diselia dan dibersihkan. Tidak banyak di antara mereka yang sentiasa indah dipandang. Kadang-kala, fungsinya disalah guna. Siapa punya angkara. Manusia berakal dan berjiwa. Tapi selalu terlajak dan terlanjur jua.

Lautan Sampah SarapLihatlah manusia. Sekiranya kadar pembuangan sampah sehari sentiasa berkali dan berganda, tidak akan ada tanah lapang menghijau. Semuanya sampah-sarap belaka. Luas mata memandang. Beban hendak digalas pada siapa? Sampai bila?

Kita. Manusia. Pembuat sampah paling berjaya. Binatang tak pernah mengikutinya. Cuma, kadang-kala merekalah yang menerima akibatnya. Apa dosa mereka? Apa daya mereka? Terpaksa tinggal di tempat pembuangan sampah, terpaksa makan sampah atau terusir dari habitat disebabkan sampah. Semuanya datang dari manusia.

Taun. Hawar. Denggi. Sebahagian penyakit yang boleh datang dari kawasan bersampah ini. Keadaan yang tidak bersih, sememangnya pantas mengundang bencana. Tapi kita berani. Masih tidak takut. Masih tetap membuat sampah bagai nak gila. Walau ada papan tanda denda jika membuang sampah merata-rata, kita tetap melakukannya juga.

Selalunya manusia ini akan marah jika sampah dibuang di kawasan rumahnya. Dan tidak merasa apa-apa jika sampah dibuang di tempat lain. Ingatlah, bumi ini tempat tinggal kita. Mari kita amalkan KITAR SEMULA.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home